Tuesday, August 31, 2010

Pterygium : Selaput Luar

Pterygium adalah sejenis pertumbuhan di lapisan luar (conjunctiva) mata putih.  Selalunya wujud pada orang yang sering bekerja di bawah cahaya matahari terdedah pada sinaran UV  yang kuat. Kebiasaannya terdapat  pada mata pekerja seperti petani dan nelayan . Faktor lain yang menyebabkan pertumbuhan pterygium termasuk wap kimia, asap, habuk dan benda-benda lain yang terbang masuk ke dalam mata.

Mata individu yang mengalami pterygium akan rasa tidak selesa, merah dan berair. Mata pesakit akan sentiasa terasa kering dan berpasir.  Kadar astigmatisma atau silau meningkat  akibat  daripada pembesaran dan pertumbuhan pterygium. Pterygium selalunya bertumbuh dengan perlahan, tetapi ada juga yang bertumbuh dengan cepat bergantung kepada persekitaran pesakit. Pertumbuhan pterygium bermula dari sisi mata dan merebak ke tengah mata. Penglihatan akan kabur dan terganggu jika pterygium sudah meliputi bahagian tengah kornea (anak mata). Tiada yang perlu dirisaukan jika pterygium masih diluar anak mata dan berada di kawasan putih.

Pterygium yang sudah memasuki anak mata

Adalah dinasihatkan bagi individu yang mengidap pterygium supaya mengurangkan pendedahan kepada cahaya matahari, habuk dan angin dengan memakai cermin mata yang melindungi mata daripada faktor tersebut. Perlu diingat bahawa, semakin kerap dan panjang masa terdedah dengan cahaya matahari, lagi cepat progres pterygium. Walau bagaimanapun, pertumbuhan pterygium ni biasanya lambat dan memerlukan masa yang panjang  untuk tumbuh  walau 1mm. Namun, pemantauan terhadap perkembangan pterygium  adalah penting supaya ia tidak memasuki mata. Mengambil airmata tiruan  boleh mengurangkan ketidak selesaan mata akibat pterygium. Selalunya, ubat titis steroid digunakan untuk mengurangkan keradangan. Memakai cermin mata gelap juga boleh melindungi mata daripada cahaya matahari terik dan angin. Elakkan daripada persekitaran yang boleh mengganggu mata seperti persekitaran yang berhabuk.


.Pterygium tidak perlu dibuang jika tidak mengganggu penglihatan

Pembedahan diperlukan bila pterygium dah sampai tahap yang boleh menyebabkan kekaburan dan ganguan pada penglihatan. Pterygium juga perlu dikeluarkan jika pterygium menyebabkan rasa berpasir di dalam mata atau mata selalu merah. Pterygium yang menyebabkan tahap silau yang tinggi juga perlu dikeluarkan untuk mengurangkan astigmatism. Pembedahan kecil akan dilakukan untuk membuang pterygium. Pembedahan ini biasanya dilakukan dalam bilik bedah kecil dan tanpa memerlukan alatan canggih. Pterygium akan dikeluarkan dengan teliti, supaya kadar pertumbuhan semula pterygium boleh dikurangkan. 

Doktor pakar akan mengambil lapisan conjunctiva dari bahagian mata yang sihat dan menampalkannya di bahagian pterygium yang telah dikeluarkan. biasanya conjuntiva dari bahagian bawah mata diambil. Prosedur ini dipanggil conjunctiva graft. Teknik graft ini dilakukan untuk membolehkan kadar pertumbuhan semula pterygium dikurangkan sebanyak 6 kali ganda. Setelah pembedahan, biasanya akan  diberi ubat titis steroid untuk beberapa minggu untuk mengurangkan radang dan mengurangkan pertumbuhan balik pterygium. Pembedahan pterygium biasanya dilakukan dalam lingkungan setengah jam.  Masa yang lebih lama diperlukan bagi mengeluarkan sesetengah  jenis pterygium yang lebih sukar.

Selepas pembedahan, mata akan dibalut untuk 24 jam untuk membolehkan permukaan mata sembuh. Bila balutan ini dikeluarkan, pesakit boleh melihat semula tetapi ada kemungkinan mata akan mengalami simptom seperti berair dan ini menyebabkan kekaburan mata yang sementara.


No comments:

Post a Comment