Tuesday, August 17, 2010

Liqo' Quran

Bersempena bulan mulia yang diturunkan Allah al-Quran padanya, banyak program-program peningkatan ibadah dilakukan. Antara ibadah yang menjadi kelaziman di bulan Ramadhan ialah tadarus dan tadabbur Al-Quran. Ia sangat bertepatan dengan bulan Ramadhan yang dianggap sebagai 'Bulan Al-Quran', yang diturunkan padanya Al-Quran. Tetapi perlu diingatkan, dalam kita bertadarus hendaklah kita mematuhi etika dan adabnya.

Secara asasnya, tadarus bermaksud memperdengarkan bacaan Al-Qur’an di hadapan seseorang
yang dapat mengawasi bacaan itu daripada sebarang kesilapan. Amalan tadarus merupakan salah satu ibadat penting yang diberi tumpuan oleh Rasulullah s.a.w. dalam bulan Ramadhan. Tujuan kita bertadarus adalah untuk membaiki dan memperelokkan bacaan kita. Dalam riwayat menunjukkan Rasullullah sendiri bertadarus bersama Jibril.


عن ابن عباس رضي الله عنهما قال: (كان رسول الله صلى الله عليه وسلم أجود الناس ـ أي أكرم الناس ـ
وكان أجود ما يكون في رمضان حين يلقاه جبريل، وكان جبريل يلقاه في كل ليلة من رمضان فيدارسه
القرآن، فرسول الله صلى الله عليه وسلم حين يلقاه جبريل أجود بالخير من الريح المرسلة) متفق عليه


“Nabi Muhammad s.a.w. merupakan orang yang sangat pemurah dengan kebajikan,
dan kemuncak kemurahannya ialah sepanjang bulan Ramadhan.Jibril a.s.
menemuinya pada setiap malam bulan Ramadhan sehingga habis bulan itu dan
Rasulullah membacakan Al-Qur’an kepadanya. Sesungguhnya Rasulullah adalah
amat pemurah umpama angin yang bertiup kencang”.
(Riwayat:Al-Bukhari dan Muslim).

Kini, amalan tadarus terus menjadi ikutan dan dihayati dari zaman para sahabat, orang-orang soleh sehingga masyarakat kini. Kebanyakkannya bertadarus Al-Qur’an sehingga tamat beberapa kali sepanjang bulan Ramadhan. Ada yang mengkhataminya seminggu sekali, tiga hari sekali, sekali setiap malam atau lain lain tempoh mengikut kesungguhan serta keupayaan masing-masing. 


 Antara adab dan etika yang perlu dipatuhi ketika bertadurus adalah:

1. Membaca Al-Qur’an secara bergilir-gilir dalam suatu kumpulan kecil.

2. Membaca mengikut tertib surah dan ayat, sebagaimana dalam mashaf

3. Menyemak bacaan agar selamat daripada kesalahan tajwid dan sebagainya.

4. Baca dengan niat untuk mendekatkan diri kepada Allah bukan untuk segera khatam.

5. Aktiviti ini boleh dihidupkan di tempat-tempat yang sesuai terutama di masjid, surau
atau di rumah sebaik-baiknya bersama keluarga.


Walau bagaimanapun, wujud beberapa kesilapan ketika bertadarus yang perlu diambil perhatian:

1. Bacaan terlalu laju sehingga terlepas pandang hukum tajwid dan mahraj huruf.
2. Berlumba-lumba menghabiskan bacaan Al-Quran tanpa tadabbur.
3. Kurang penghayatan dalam mentadabbur ayat Quran.
4. Tergesa-gesa membaca Al-Quran
5. Tidak menjaga hak-hak Al-Quran dari segi tajwid, makhraj dan sebagainya semata-mata untuk    mengkhatamkan Al-Quran di bulan Ramadhan.
6. Tadarus Al-Qur’an hanya dilakukan di bulan Ramadhan saja.

Perlu diingatkan, tujuan kita bertadarus adalah untuk membaiki dan mempelajari Al-Quran bukanlah untuk khatam dan menghabiskan keseluruhan al-Quran. Perkataan tadarus yang berasal dari 'darasa' yang bermakna mempelajari. Jika khatam dijadikan tujuan utama, maksud mempelajari ini biasanya tidak tercapai.
Tujuan Rasulullah bertadarus dengan Jibril ialah untuk memperdengarkan dan
menyemak bacaan. Jika khatam itu tujuan yang utama, tentulah tidak berlaku tadarus melainkan selepas Quran itu sempurna diturunkan. 



Kesimpulannya, kita bertadarus bertujuan memperelokkan dan menyemak kembali bacaan. Dan sebaiknya bacaan itu difahami. Yang demikian itu adalah lebih elok jika tadarus itu diadakan secara berkumpulan untuk sama-sama mendapat manfaat. Dan elok juga dilakukan perbincangan ringkas selepas tadarus berkenaan ayat-ayat yang di baca.

Walau bagaimanapun, jika mampu, sewajarnya seorang Muslim berusaha mengkhatamkan Al-Quran paling kurang sekali dalam bulan Ramadhan dengan menjaga adab-adab dan hak-hak Al-Quran itu sendiri.

Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud :"Ramai orang membaca Al-Quran,
sedangkan Al-Quran itu melaknatnya". Mereka adalah golongan yang tidak menjaga
adab-adab dan
hak-hak Al-Quran ketika membacanya.

Moga-moga kita tidak tergolong dalam golongan itu. Insya Allah..

1 comment: