Wednesday, September 15, 2010

Khutbah Raya1431

Tahun ini, solat aidil fitri di masjid Tandop, Alor Setar. Tidak seperti kebiasaan tahun-tahun sebelum ni. Selalunya solat di MADI, Jejawi. Khatibnya Ustaz Harun Din. Walau bagaimanapun, khutbah raya di Tandop pun tidak kurang hebatnya. Khatib muda dan penuh semangat. Laungan takbir yang penuh semangat membakar jiwa untuk mendengar isi khutbah dan pada masa yang sama membangunkan jemaah yang tidur. Letih membuat persiapan akhir raya barangkali. Antara isi khutbahnya;

Dalam khutbah pertama, khatib memetik kata-kata dari Ibn Hajar al-'Asqalani. Dalam usaha menjadi orang yang bertaqwa (al-muttaqin) perlu cukup empat syarat.

1.   Meninggal dan Menjauhi Syirik.
         Syirik adalah perbuatan menyekutukan Allah dalam apa juga bentuk sama ada perkataan, pegangan, perbuatan dan iktiqad iaitu dengan menjadikan suatu yang lain iaitu makhluk bernyawa atau tidak sekutu bagi Allah. Antara perkara syirik adalah menerima teori akal dan meninggal al-Quran sekaligus menolak al-Quran sebagai panduan.

2.  Meninggal Maksiat kepada Allah
             Maksiat yang semakin hari berleluasa. sebagai contoh peningkatan kes-kes buang anak yang masih bayi.
              Mengelakkan ikhtilat terutama dihari raya ini. Perlu tahu batasan antara adik-beeradik, sepupu, ipar, mertua dan sebagainya.

3.  Meninggalkan syubhah sama ada dari segi ekonomi, makanan dan lain-lain.
  Imam syafie berkata: berilah aku makanan yang halal, tidak syubhah dan bersih, nescaya aku boleh mengubati 40 orang pesakit.

4.  Menjauhi berlebih-lebihan
Firman Allah: “Makanlah dan minumlah serta jangan berlebih-lebihan.” (Surah al-Araf, ayat 31)

  Peringatan peristiwa yang berlaku dalam bulan Syawal- Perang Ahzab yang berlaku antara orang musrikin san orang Islam.

Juga diingatkan agar tabah menghadapi ujian dan sabar dengan dugaan.

Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada besertanya: "Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" Ketahuilah, sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah). (Al-baqarah,2:214)


Pada bulan ramadhan pula beerlakunya Perang Badar al-Kubra.

Dan (ingatlah) tatakala Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras". (Ibrahim, 14:7)

Qisah Abdullah al-Mubarak
      - Kisah di mana ketika perjalanan beliau bersama rombongannya menuju ke Makkah bagi mengerjakan Haji. Beliau terlihat seorang perempuan tua membasuh bangkai di tepi sebatang sungai. Lalu Abdullah al-Mubarak pun mengikuti perempuan tua itu bagi mengetahui tujuan bangkai itu dibasuh. Terkejut beliau melihat keadaan keluarga perempuan itu. Bangkai yang dibasuh tadi diberi kepada anak-anaknya untuk dimakan. Lantas beliau kembali kepada rombongannya setelah melihat keadaan keluarga perempuan tua yang dhaif itu. Setelah diceritakan peristiwa tersebut, beliau dan rombongannya bersetuju membahagikan bekalan kepada dua bahagian; satu bahagian kepada perempuan tua dan satu bahagian untuk bekalan pulang.

Dalam khutbah kedua, khatib memperingatkan jemaah agar membayar zakat fitrah kepada lapan asnaf yang disyariatkan Islam. Ia bertujuan membersihkan dan menyuburkan harta.

Sebuah qisah pada zaman Khalifah Harun ar-Rasyid dimana al-Quran cuba dipalsukan di beberapa tempat. Tetapi masyarakat ketika itu dapat mengenali tempat-tempat yang dipalsukan di dalam Al-Quran tersebut. Namun, jika hari ini berlaku penipuaan dan pemalsuaan di dalam ayat suci Al-Quran, mampukah umat Islam kini mengecam ayat yang palsu.

Khutbah kedua ditutup dengan peringatan dari dua ayat al-Quran

Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami siksa mereka disebabkan perbuatannya. (Al-A'raaf; 7:96)

Hai orang-orang yang beriman, ta'atilah Allah dan ta'atilah Rasul(Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al-Qur'an) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu adalah lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya. (An-Nisaa'; 4:59) 

 

No comments:

Post a Comment